Wednesday, January 29, 2014

Original from an interview of Majalah Metro, Friday 29 November

1. Sejak bila menulis blog dan bagaimana ia bermula?
Mula menulis blog pada tahun 2006, bagi merekodkan perkara penting dan sekadar mencuba. Mungkin juga kerana tren menulis blog mula rancak diperkenalkan. Komitmen keatas kerja menyebabkan entri sangat sedikit pada masa itu.

2. Adakah ia sekadar suka-suka atau untuk perniagaan?
Saya mencuba untuk berniaga di bazar pada tahun yang sama, jadi blog turut dijadikan sebagai tempat mempromosi aktiviti dan penglibatan dalam bazaar. Boleh dikatakan saya penulis yang pasif dan saya lebih menumpukan kepada applikasi flickr yang mana gambar di paparkan tanpa perlu penulisan yang panjang.

3. Berapa blog yang Syam ada dan ia mengenai apa?
Saya menumpukan kepada satu blog sahaja iaitu little-syam.blogspot.com.

4. Siapa yang membaca blog dan berapa jumlah pengunjung?
Kebanyakan pembaca blog dari kalangan peminat kraf atau sesiapa yang mengikuti perkembangan aktiviti saya atau yang berminat mengikuti bengkel yang saya anjurkan. Purata pengunjung sebulan sekitar 5000 orang.

5. Blog penceritaan mengenai apa?
Saya menjadikan blog saya untuk menceritakan tentang proses yang saya lalui, bengkel yang telah saya jalankan, berkongsi gambar-gambar yang memberi inspirasi, tips dan tempat-tempat yang saya lawati. Saya berharap apa yang saya paparkan  turut memberi inspirasi kepada pengunjung.

6. Bagaimana penulisan adakah menggunakan bahasa pasar atau sebaliknya?
Saya menggunakan bahasa Inggeris, dengan bahasa yang kedengaran sedikit kasual.

7. Adakah Syam mengadakan kelas kraftangan. Jika ya boleh ceritakan bagaimana ia bermula?
Kelas kraftangan bermula secara serius  pada tahun 2010, apabila saya tekad berhenti kerja. Selain dari menambah pendapatan bengkel saya juga adalah tempat untuk saya berkongsi kemahiran dengan individu yang berminat.

8. Bila kelas diadakan dan dimana?
Kelas yang di anjurkan di lokasi yang berbeza setiap kali terpulang kepada jemputan. Selain dari bengkel yang saya anjurkan sendiri ada juga pihak korporat menjemput saya untuk menganjurkan kelas pembuatan kad hari lahir sebagai salah satu aktiviti dari jabatan sumber tenaga & manusia. Saya turut di jemput beberapa kali ke PETRONAS Galeri bagi Program Cuti Sekolah yang dianjurkan untuk kanak-kanak. Beberapa kolej tempatan turut mengundang saya untuk bengkel pembuatan buku.

9. Adakah peserta di kalangan mereka yang membaca blog?
Ada peserta yang mengikuti kelas setelah melihat info yang dipaparkan dari blog entri.

10. Gambar dalam blog sangat menarik adakah hasil kreativiti sendiri?
Saya berminat dalam bidang fotografi, dan ianya banyak membantu dalam menghasilkan gambar yang menarik. Pada pendapat saya setiap gambar mampu mencerita dan meluah kan maksud tanpa memerlukan penulisan yang meleret-leret.

11. Adakah anda mengambil kelas kraftangan atau belajar sendiri?
Saya telah membuat kerja-kerja kraf dari zaman persekolahan lagi sehinggalah melanjutkan pelajaran keperingkat ijazah di New Zealand dalam bidang Grafik Berkomputer. Kursus yang ditawarkan menggunakan komputer untuk kerja-kerja rekaan tetapi saya sering mengabungkan elemen kraf disetiap rekaan. Saya sempat mengambil  kursus jangka pendek dalam seni tembikar pada cuti musim panas, mengikuti kelas illustrasi, pembuatan kertas dan kelas membuat buku secara manual. Walaupun setelah bekerja disetiap kelapangan yang ada, saya masih meneruskan aktiviti membuat buku dan kraf  dan menjualnya kepada kedai dan individu yang berminat. Saya juga suka mencuba dan belajar sendiri seperti kemahiran menjahit dan percetakan silkscreen.

12. Daripada mana idea mendapat kreativiti menghasilkan produk kraf? 
Sebagai pembuat kraf saya suka melihat penghasilan kraf melalui pengamatan semasa melancong, budaya orang lain, blog-blog dari pereka lain, alam semula jadi dan itulah inspirasi utama saya. Secara peribadinya saya lebih suka mencipta produk kraf  yang lain dari yang lain. Mempelopori kemahiran dan mengabungkan pelbagai elemen untuk mencipta sesuatu yang unik dari mengikut saja apa yang orang lain buat dan suka. Apabila saya berhenti bekerja, saya bertekad untuk membuktikan bukan kepada sesiapa tetapi kepada diri sendiri yang saya mampu berdiri diatas kaki sendiri dengan bekerja dari rumah. Bekerja makan gaji bukan lagi keutamaan tetapi melakukan sesuatu mengikut minat dan naluri.

13. Apakah kepuasan yang diperolehi daripada blog anda?
Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran, tetapi melihat balik perjalanan yang saya lalui dan setiap progres yang direkodkan didalam blog menjadikan saya lebih bersemangat dan sentiasa menjadi lebih baik dari masa-masa yang lepas.

14. Pekerjaan anda atau full time blogger? 
Keutamaan saya adalah kerja-kerja yang saya hasilkan, blog adalah tempat untuk saya mencatatkan perjalanan karier saya sebagai pembuat kraf, saya tidak mensasarkan yang saya perlu membuat entri setiap masa.

15. Blog yang menjadi inspirasi anda dan keistimewaannya? 
Tidak ada secara spesifik tetapi saya lebih tertarik terhadap blog-blog yang memberi inspirasi dan tenaga positif. Anehnya kita tidak mengenal antara satu sama lain tetapi luahan rasa, gambar mampu memberi motovasi, terutamanya mereka yang menempuh perjalanan yang hampir serupa.

No comments: